03 February 2018

Kisah Sedih Anak-Anak Kita

Assalamualaikum..
Sejak kelmarin, kita dikejutkan dengan 2 kematian tragis 2 orang anak-anak kita. Anak-anak yang sepatutnya menjadi amanah dan tanggungjawab. Anak-anak yang meletakkan segala kepercayaan dan kesetiaan kepada kita ibubapa dan guru. 
Pemergian seorang gadis berusia 13 tahun kerana tekanan perasaan selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya. Dan gurunya bertindak di luar kewarasan seorang guru dan mendorong si gadis menjadi sangat tertekan sehingga berfikir untuk mengambil nyawa sendiri. Inilah silap masyarakat kita. Menjatuhkan hukuman bersalah walaupun tidak terbukti bersalah. Dan yang sedihnya, seorang guru. 

Cikgu,
Kami ibubapa meletakkan sepenuh kepercayaan untuk Cikgu menjaga dan membantu anak-anak kami. Tetapi tugas dan kasih guru tetap ada batasnya. Ada yang baik boleh diambil dari Cikgu tapi ada juga yang tidak. Ye, Cikgu manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Punya amarah dan ketahanan. Sayangnya salah dilampias. Dan nyawa seorang gadis yang keliru menjadi taruhan. Walau apa salah anak itu, walau apa yang berlaku sebagai guru. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Bagaimana telefon bimbit boleh jadi galang gantinya nyawa? Saya harap guru itu mengambil iktibar dan juga guru-guru lain. Tugas anda masih belum boleh menjadikan anda pengganti Ibubapa atau Pendakwaraya sekalipun. Terima kasih guru-guru yang sentiasa ada untuk membantu anak-anak kami.. Tapi sekali lagi.. setiap perlakuan dan perkataan ada batasannya.



Dan perginya seorang anak perempuan sekecil 9 tahun kerana amarah seorang ayah kandung. Saya tidak boleh hadam ini. Walau apa tekanan sekalipun. Setiap orang ada tekanan masing-masing. Setiap Ibubapa ada tekanan di tempat kerja, ada tekanan hidup, ada tekanan dan kekangan kewangan. Tapi menjadikan anak sebagai `punch bag' saya masih tidak boleh hadam. Sedangkan jadikan isteri sebagai pelepas amarah pun tidak boleh diterima akal, apatah lagi seorang anak kecil. Ye, saya juga marah jika penat tapi tidaklah sehingga dicubit sehingga lebam dan dipijak sehingga terkencing. Apatah lagi segala organ dalaman rosak. Allahu.. Ayah apa ini? Ibu apa ini? Mana nilai kewarasan? Mana nilai kasih sayang?

Jiran,
Kadang-kadang, anda perlu ambil tahu. Bukan sibuk nak tahu. Ada beza antara jaga tepi kain dengan kisah hal jiran tetangga. Bila berkaitan anak-anak, tolonglah ambil peduli. Bila kisah sering dengar pertelingkahan atau pergaduhan atau tangisan, sila ambil tahu. Ambil tahu dengan jalan yang betul. Jangan sampai terlambat. Jika nampak anak jiran ponteng sekolah, cari jalan untuk berbincang dengan Ibubapa anak itu. Jangan terlambat. Sebab, segalanya yang berlalu tidak boleh dipaling semula. 



Maaf, saya bersedih. Tapi tiada kata-kata mampu menampung segala kesedihan keluarga ini. Masyarakat kena berubah juga. Bila ia melibatkan anak-anak. Semoga anak-anak kita terpelihara. Didik dengan baik.

Untuk keluarga Aina dan Priya, semoga tabah. Tidak semudah bicara. Sekurang-kurangnya anak ini di tempat paling baik sekarang. Tanpa kesakitan, tanpa penderitaan. Salam takziah. 

Lynda Che Lah

No comments:

Post a Comment

~Dah Baca Tak Mahu Komen?~

Instagram