05 September 2018

Penting Untuk Anak Hafal Nombor Telefon!

Assalamualaikum.

Ini berdasarkan pengalaman sendiri. Dan Alhamdulillah, dalam setiap perkara yang diajar untuk anak-anak akan ada pengajaran juga untuk ibu ayah kan. 

Macam ni sebenarnya. Qoid masuk kelas Taekwondo. Dia dah ke kelas sparing. Kelas ini diadakan pada sebelah malam dan di tempat lain. Rupanya, antara disiplin yang perlu diingati di kelas ini adalah menghafal nombor telefon ibu bapa dan membaca timbangan sendiri. Selama Qoid di kelas ini, bahagian nombor telefon ibu bapa dikosongkan. Agak lama juga. 
Sampai satu masa, jurulatih maklumkan Lynda. Tolong ajar dia hafal dan ingat nombor telefon. Penting sebab jika berlaku apa-apa kemalangan semasa latihan, ibu bapa dapat dihubungi segera. Mulai masa itu, kami ajar Qoid hafal nombor telefon. 

Buat permulaan, Qoid perlu hafal nombor telefon Ibu. Sebab, ayah jauh di Putrajaya. Jadi untuk kecemasan, yang paling dekat dan hampir adalah Ibu. Jenuh juga mengajar dia menghafal. Tips menghafal Qoid mudah. Mesti berlagu. Hehe.. Kanak-kanak memang macam ni kan. Kalau ada melodi sikit tu, dia akan mudah ingat.

Dan dalam 2 3 hari, Qoid dah hafal nombor telefon Ibu dan kena selalu tanya dia juga untuk mengingatkan dia. Kadang-kadang dengar dia lagukan nombor telefon yang dihafalkan tu. Bila bayar  di kaunter guna no pin pun dia nyanyikan nombor tu. Nasib baik pin Ibu bukan nombor telefon. Hehe..

Nak dijadikan cerita, lepas hantar Qoid ke kelas Taekwondo biasa di sekolah, Lynda pergi melawat kawan yang baru bersalin. Jadi, rancangan asal adalah untuk melawat sambil tunggu Qoid habis latihan. Kebetulan, Encik Hubby keluar. Tapi, dalam setengah jam kelas Qoid nak tamat. Encik Hubby maklumkan, dia dah tiba di rumah. Kita yang jumpa kawan ni pun apalagi. Terus bagitau Encik Hubby, nanti ambil Qoid. Dia jawab, OK.

Dan yang nak jadi cerita juga, komunikasi ini melalui aplikasi WhatsApp. Tau kan baik buruk komunikasi WhatsApp ni. Kurang tanda bacaan pun boleh jadi salah faham. Baca dengan nada sendiri pun boleh buat gaduh. Pada Encik Hubby, dia memahami bahawa, Lynda dalam perjalanan mengambil Qoid. Dan pada Lynda, maksud OK itu adalah dia akan ambil Qoid.

Masa berlalu dan makin rancaklah berbual. Tiba-tiba dapat panggilan daripada nombor tidak dikenali. Dengar suara kanak-kanak menangis dan memanggil Ibu! Eh! Ini Qoid. Kenapa dia menangis? Rupa-rupanya, tiada sesiapa menjemput dia daripada kelas Taekwondo. Mujur ada penjaga sekolah yang nampak dia menangis di luar pagar sekolah dan mundar-mandir. Terus disuakan telefon suruh menghubungi Ibu atau Ayah. Syukur juga Qoid dah hafal nombor telefon.



Sesal pun tiada guna kan. Bergegas Lynda mengambil Qoid di sekolah. Syukur dia tidak apa-apa. Bila sampai di rumah, Encik Hubby maklumkan, telefonnya kehabisan bateri. Pelik juga kenapa Lynda tak balik-balik sedangkan dah sejam sejak waktu sepatutnya ambil Qoid. 

Macam yang Lynda maklumkan di awal tadi. Mujur disiplin di kelas Taekwondo diterapkan untuk anak-anak. Bukan saja untuk mereka, tapi pelajaran berguna untuk Ibu Ayah. Kami tidak pernah terfikirkan keperluan Qoid menghafal nombor telefon. Cukup hanya menulis nombor berkenaan di beg atau pakaian. Jika di sekolah, guru ada. Tapi bila kecemasan macam ni, memang penting untuk anak tahu sekurang-kurangnya nama penuh ibu ayah dan nombor telefon untuk dihubungi. Untuk akan datang, hafal alamat rumah dan jalan pulang ke rumah.

Anak tahun 2 masih dianggap kurang matang dan perlu perlindungan serta bimbingan. Ibu Ayah belajar daripada orang lain dan semoga pembelajaran ini akan berterusan. Semoga anak-anak kita turut dilindungi dan selamat.xoxo

Lynda Che Lah

No comments:

Post a Comment

~Dah Baca Tak Mahu Komen?~

Instagram